Sunday, January 24, 2010

kisah aku dan dia

Pernah engkau mendengar kata-kata ini, barangkali hadis yang pernah aku dengari di mana-mana, yang berbunyi, janganlah engkau mengutuk pelaku dosa kerana kelak sebelum mati engkau akan melakukan dosa yang sama?

Aku rasa itu ada benarnya, kalaupun sumber kata-kata itu tidak dapat dikenalpasti. Pertama, Islam memang melarang kita untuk membenci pelaku dosa. Yang patut dibenci adalah kesalahan yang dilakukan itu. Kedua, perkara itu pernah berlaku pada diriku sendiri.

Teman sebilikku dulu, ketika kukenali sedang asyik bercinta dengan pasangannya. Aku yang diajar bahawa berpasangan itu salah, berhubungan lelaki perempuan bukan mahram itu adalah kemaksiatan besar sejak sekolah lagi, sering pula memandang jelik tingkah-lakunya itu. Tetapi sebenarnya, aku sendiri terperangkap dalam kesalahan yang sama.







Muiz kukenali ketika cuti panjang menanti keputusan peperiksaan SPM diumumkan. Di mana lagi kalau bukan di alam maya? Tiga bulan itu cukup untuk menyebabkan kami terus berhubungan, terima kasih kepada teknologi yang membenarkan aku menghubunginya pada hampir setiap masa senggang yang kumiliki. Pesanan ringkas. Ketika itu aku masih mampu mentakrifkan bahawa hubungan itu platonik semata.

Entah apa yang menyebabkan hati tertarik, aku sendiri tidak pasti. Muiz tidak cukup kriteria untuk menjadi lelaki pujaanku jika kufikir secara rasional. Mungkin kerana kami boleh bercerita tentang banyak perkara, hati menjadi lebih dekat. Mungkin itu satu sebabnya, tetapi yang aku pasti, syaitan memang berada di mana-mana.

Muiz sendiri menyenangiku, kerana katanya, aku ini melegakan. Dia lelaki yang begitu banyak kekalutan mendekatinya, dan aku yang barangkali lebih matang mudah sekali memberi idea. Dan Muiz juga, pada usia 18 tahun, dan lima tahun sebelumnya dihabiskan di sekolah tanpa perempuan, tentulah mudah sekali bersahabat dengan yang berlainan jantina.

Aku terlontar di matrikulasi, Muiz juga begitu. Tetapi aku dalam tidak keruan sepanjang dua bulan itu, kerana harapanku yang sejak dulu kusimpan mahu belajar di United Kingdom belum kupasti tercapai atau tidak.Surat tawaran belum diterima, meski temuduga telah kuhadiri. Dalam kerisauan itu aku cuba menyedapkan hati, memberitahu Muiz bahawa aku sudah mengubah fikiran, biar tawaran diterima aku tidak akan pergi. Tetap di matrikulasi. Muiz menyambut senang, kerana kutahu, keputusan itu tidak akan melebarkan jurang antara kami. Akademik.








Tetapi seperti kataku, itu hanyalah untuk menyedapkan hati. Saat surat tawaran JPA tiba di tanganku hati tiada sedikit pun ragu. Ini destinasiku. Dan Muiz, Muiz cuma menyebut kembali kata-kataku dulu dalam melankoli. Maaf, kataku. Aku berubah fikiran.

Dua tahun di kolej persediaan, aku masih dan bertambah dekat dengan Muiz. Masih sebulan sekali berbual di talian, hampir setiap masa bertukar pesanan ringkas. Aku sendiri sudah tidak tahu bagaimana untuk mendefinisikan perhubungan itu. Kami bukan sekadar kawan. Tetapi kami bukan juga pasangan kekasih. Muiz, pada bila-bila masa sahaja kubenarkan untuk berbicara tentang mana-mana gadis yang diminatinya, walaupun aku sedar ada cemburu di hati. Muiz juga begitu. Tenang sahaja dia mendengar aku berceloteh tentang mana-mana lelaki yang aku senangi, tetapi kadang-kadang dia sudah tidak sanggup kalau aku terlalu memuji. Berkisah tentang keluarga masing-masing. Malah luka paling dalam. Mungkin istilah teman tapi mesra itu paling tepat buat kami.

Dan ramai teman yang mengenali kami berdua bertanya, kenapa tidak 'declare' secara rasmi bahawa kamu berdua pasangan kekasih? Bukan tidak pernah kami menyebut tentang perkara ini, tapi kusedar satu, Muiz terkadang berasa rendah diri denganku. Aku ingat ketika dia bertanya, kalau engkau kuajak ber'couple', kau mahukah? Kukatakan tidak. Dan kerana itu kami diamkan sahaja hal ini. Dan dia juga pernah menyebut, aku lebih layak untuk bersama lelaki yang lebih baik daripadanya.





Aku sendiri, masih memegang pada konsep setia yang kupegang sejak sekolah lagi, setia pada lelaki yang memang ditakdirkan untukku, tidak sama sekali 'settle on someone just because he is available'.Jadi aku meletakkan syarat begini: Katakan 'Tidak' pada mana-mana sahaja lelaki jika akal dan hatiku tidak bersetuju bahawa dia adalah yang terbaik. Hatiku mempersetujui bahawa Muiz adalah lelaki baik, tetapi penilaian akalku mengatakan sebaliknya. Dan kerana ketidaksefahaman itulah aku bertahan sepanjang dua tahun. Bertahan untuk tidak pergi lebih jauh dari sekadar teman yang mesra.

Entah mengapa hatiku bisa bersetuju aku sendiri terasa aneh. Barangkali ketika itu hatiku sudah semakin kotor. Ya, hati yang bersih akan menunjukkan jalan yang betul. Sangat-sangat aku sedari persahabatanku itu sudah bersalut dosa yang tidak sedikit. Hati sering tidak tenang. Solat tidak khusyuk mengenangkan pesanan ringkas yang belum terbalas, kata-kata manis yang diterima. Aku menyedari itu, dan pada saat-saat hati punya kekuatan untuk menjauhkan diri dari kemaksiatan, aku termakan pujukan Muiz yang bijak menunjukkan kesedihan. Aku tidak menyalahkannya. Dia tidak faham. Tidak cukup matang untuk memahami bahawa untuk menjaga hati agar suci dan tenang, lebih afdhal jika diputuskan sahaja hubungan. Bagaimana mungkin dia faham jika manusia di sekelilingnya sedang hanyut dalam percintaan? Aku tidak menyalahkan lelaki senaif itu kerana tidak dapat membezakan yang mana benar yang mana salah, kerana aku sendiri sudah tidak mampu menarik diriku jauh daripadanya. Aku menyalahkan diriku kerana atas segala pengetahuan yang kuada aku masih menuruti kehendak nafsu.


http://www.flowerstocolombia.com/images/white%20bear%20with%20heart.jpg


Aku ingat sekali ketika menerima hadiah daripadanya. Di kolej ketika itu. Muiz merancang teliti kejutan itu, bekerjasama dengan sahabat semejaku di kelas. Kotak besar berbalut rapi yang dipos dari jauh, saat kubuka terlihat anak patung beruang, di baju merah jambunya tertulis 'Best Friend'. Ya, Muiz sangat-sangat menghargaiku sebagai seorang sahabat, aku tahu itu.Dan anak patung beruang rona coklat muda itu, tanda ingatannya kepadaku, kerana katanya aku adalah perempuan yang pandai menjaga diri.Betapa ironi! Teringat kerisauan Muiz kerana pesanan ringkasnya tidak terbalas setelah tiga jam dihantar, kerisauan yang disuarakan kepada sahabatku yang lain.Teringat sifat ambil beratnya ketika aku pening-demam. Aduhai, mengakulah bahawa aku hanya perempuan lemah yang mudah sekali terharu. Terima kasih kepada nafsu yang tidak tertunduk, yang tidak terasuh.

Dalam jangkamasa perkenalanku itu, aku menemuinya sekali, sesuatu yang kukira akan kukesali sepanjang hayat. Betapa jauh aku pergi melanggar prinsipku sendiri kerana perasaan yang tidak tertahan. Memang itu cuma pertemuan biasa pada perkiraan muda-mudi sekarang, tetapi apakah beza aku dengan perempuan lain? Entah ke mana kulontar jauh hadis yang kuhafal rapi, tidak akan berduaan seorang lelaki dan perempuan melainkan yang ketiganya adalah syaitan?




http://www.eyeofhorus.org.uk/images/photo/10tennant/series-02/09-satan/the-satan-pit-doctor-beast3.jpg
Ya Allah! Jauhilah kami dari hasutan syaitan yang durjana itu!




Dua tahun berakhir dengan cepat. Malam terakhir di Malaysia menyaksikan aku mengalirkan air mata kerana perpisahan itu. Dia sendiri, dalam kesedihannya meminta aku tidak melupakannya. Tidak sama sekali, kataku. Setelah lebih dua tahun, mana mungkin aku melupakannya. Dan kali terakhir, sebelum menaiki kapal terbang meninggalkan Malaysia buat kali pertama aku menelefonnya. Aku sudah tidak menangis, barangkali sudah dipenuhi keterujaan untuk menghadapi kehidupan baru, tetapi Muiz, dia lebih banyak berdiam.

Bumi United Kingdom menyambutku, membawa bukan satu kejutan dan perubahan ke dalam diri. Dan jika sebelumnya kurasakan hidup pasti akan berbeza tanpa Muiz, tidak, hidupku kembali normal tanpanya.

Dan Muiz, dua minggu selepas pemergianku, ketika kuusik mengenai statusnya di Friendster yang berubah dari 'Single' kepada 'It's Complicated', mengakui bahawa dia sudah menjalinkan hubungan secara rasmi dengan gadis yang diminatinya. Dan dia, hanya menanti untuk memberitahuku perkara itu sebelum mengumumkan bahawa dia kini 'In a Relationship'. Oh terima kasih, kataku. Sedang hati menangis atas sebab yang kusendiri tak pasti. Aku tidak mahu terus bersamanya, tetapi aku tidak juga sanggup untuk melepaskan. Apa masalahnya dengan aku ini? Dan Muiz, memohon aku tetap menjadi penasihatnya, kerana padanya aku masih sahabat baik yang tidak akan terganti. Maaf, aku katakan dalam emosi yang tak keruan, aku tidak betah melayan masalah engkau dan kekasih. Aku punya masalah sendiri. Dan aku menangis tanpa kufahami mengapa.

http://www1.istockphoto.com/file_thumbview_approve/1613360/2/istockphoto_1613360_complicated_sign.jpg
complicated??


Tetapi lukanya tidak dalam. Kebenaran yang kutemui meyakinkan aku bahawa semua sudah tertulis. Aku bertemu Muiz kerana dia mengajar aku betapa sukarnya hidup andai hati tidak tenang. Dan seperti kata sahabatku, seseorang itu dihantar ke kehidupan kita untuk satu-satu tujuan, dan setelah habis peranannya dia akan pergi. Mengenali Muiz mengajarkan aku tentang diri, bahawa aku sebenarnya masih lemah untuk melawan nafsu. Dan aku sangat meyakini bahawa Tuhan membawaku ke sini supaya aku lebih dekat denganNya, setelah dua tahun aku membiarkan diri terlalai. Tuhan membawaku ke sini untuk aku kembali ke jalan perjuangan yang lama aku tinggalkan.

Dan jalan perjuangan itu, tidak mungkin aku tinggalkan sekali lagi hanya kerana seorang lelaki.

Tuesday, January 5, 2010

alkisah ana dan nta

dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Ana memandang keluar tingkap metro, masih ana ingat cuacanya sejuk menggigit tulang ana. Airmata bergenang. Teringat bia’h madrasah dahulu. Zaman terlalu gesa ubahnya. Ana tidak pernah meminta sebegitu rupa. Tetapi kerana takdir ilah,

Berjalan diatas titian kudrat,
Apa yang harus kita katakan,
Jika berharap, Dia menentukan…

Ana rela menanggung perih jerih di bumi Musa ini..



Ana masih ingat bagaimana kita bertemu. Tahun-tahun sebelumnya sewaktu di form1 n 2, ana tidak pernah mengenali nta. Cuma kerana nama nta disebut-sebut orang sebagai hafiz, ana jadi kagum dengan orang misteri yang disegani banat.

Malam itu benak ana bagaikan direntap anak-anaknya. Ana biasa begitu. Dan ana akan turun ke musholla al-maidah untuk bermunajat pada Tuhan, yang setiap hari ana tatap rumahNya itu, melepaskan rindu akan liqa’ denganNya. Sekian hari kian ana sedar bahawa seramai mana pun orang mengatakan hebat agama ana, ana hanyalah berasal dari tetesan mani yang hina. Kata orang, kalau jatuh ke tanah, ayam tak patuk, itik tak sudu.

Ana kalut dengan pujian yang melebih keatas diri ana walhal ana jengkel akannya. Padahal orang bukan tahu kalau ana nak-nak malam terkedu akan pujian mereka. Kalau mengapa mereka itu nampak akan ana darjat padahal dari ana, hanyalah diri ini teramat hina sehingga ana malu bermunajat perkara remeh pada Tuhan. Apakah mereka tahu? Sama sekali tidak. Bah ia tersimpan di segenap corok di hati ana, terkulai dalam bungkusan istimewa yang nak hari ana tunggu orangnya yang pertama bakal membukanya. Dan adalah harapan ana itu menjadi pintu kepada syaitan yang hina…


Dalam samar gelap ana tahu ana tersepak kaki Zuraihan, yang tidur di sebelah Nik, pujian bagi yang Maha Esa. Keduanya tidak terbangun. Ana meneruskan perjalanan keluar pintu yang kemudiannya ana tutup perlahan-lahan bagi mengelakkan barangsesiapapun terjaga.

Malam itu lampu masih lagi dipadamkan gara-gara kedegilan Hanif, seorang aspura yang melanggar salah satu peraturan baitu al-thalabah, tidak menghadiri liqa’ muhasabah pada malam Rabu. Kami redha dan tahu akan mushaqqah yang dihadapinya namun tidak bagi Ustaz Zubaidi.
Ana menyusuri alur taman bunga dengan hati ana berdebar-debar tidak tahu kenapa. Memang begitu mehnah taman bunga itu keatas ana. Setiap kali ana melaluinya di malam buta Ana lega dapat keluar dari asrama puteri dan menuju ke musholla tanpa halangan. Mata ana masih berbekas airmatanya. Ana memakai minyak ‘athar pemberian ibu sewaktu ana pulang ke rumah 2 minggu yang lalu. Tidak mengapa bagi ana kerana tiada lelaki. Ana berpakaian sekemasnya, hendak menghadap Raja Agung bak kata.

Tanpa ana sedari ana terlanggar seseorang! ‘Bedebab!’ bunyinya ana terjatuh. Kepala terhantuk tiang laluan yang ana susuri. Aduh, sakit bukan kepalang. Tangisan ana berbunyi manja kerana suara ana yang memang tidak dapat diubah. Lunak suara ana. Ana jaga selama ini sehingga jarang dikalangan banin pernah mendengarnya, takut ana luruh jantung mereka. Namun hari itu ana nampak nta. Yang melanggar ana. Suara nta yang garau parau, berserak basah menjadi sentakan buat ana. Ana terdiam..

“Asif jiddan! Ana tak nampak nti tadi! Asif!”

Bersungguh-sungguh nta katakan. Dan lampu pun terbuka. Menandakan telah berakhir tempoh denda seperti yang dijanjikan Ustaz agar tidak menyusahkan orang bangun malam. Ana tidak berpurdah malam itu. Salah ana yang tidak ana tahu kenapa. Dan nta menyaksikan wajah ana. Bersungguh nta tunduk tanda menghormati ana. Tangan nta di dada memohon maaf. Ana melakukan yang sama dan tunduk sedikit kepada nta setelah bangun dari jatuh tanda ana terima dan ana terus berlari anak ke arah pintu musholla banat.
Seolah nta tidak menghirau langsung ayu wajah ana?

Persoalan itu benar2 mengganggu fikiran ana..


Seharian ana terganggu dengan peristiwa malam kelmarin. Nta telah berjaya mengagumkan hati ana. Nta lebih percaya kepada addin pegangan nta dari menyantap wajah ana. Kerana itu nta telah berjaya menjerat ana. Ana sebagai insan lemah. Maka mengapa begitu jadinya padahal sekian lama ana menjaga hati ini agar tiada berkarat dek tipuan kaun dunia.

Ana masih lagi di dalam kelas Ustazah Khadijah yang sedang asyik membacakan kitab Penawar bagi Hati. Bab tasawuf yang walaupun terlalu terbuka menjadi minat bagi ana. Ana akan mengulang setiap kata-kata ustazah dengan suara kecil agar lebih mudah ingat. Tidak bagi hari itu. Kerana peristiwa itu. Hanyut ana entah kemana. Ana tidak perasan ustazah memerhatikan ana sewaktu ia berhenti dari berbicara sebentar. Saat itu lama ia tercegat mengerling kearah ana diiringi mata seluruh banat dan beberapa banin yang mengilas pandang. Langsung tidak ana sedari. Kedua mata ana kearah nta yang langsung tidak mengendahkan apa yang berlaku sewaktu itu. Itulah nta di dalam kelas yang ana kenal. Seolah nta hanyalah keseorangan. Dan seluruh banin banat lain tidak wujud, termasuk ana.
Ustazah berjalan kearah ana. Jahat teman ana. Nik, langsung tidak menyedarkan ana dari lamunan. Mungkin kerana ia terkejut dengan ana yang memerhatikan seorang banin. Sampai ustazah dihadapan ana dan ia mengetuk maktab ana. Dan ketawa meledak. Suara banin memecahkan angan ana, terlihat wajah ustazah mengguruh.

“Asif ustazah! Ana.. erm, ana..eh..”

Ana buntu akan apa yang hendak dikatakan. Mujur ada Nik buat backup,

“Ustazah dia tidur lewat sangat semalam..”

Seakan ustazah memahami. Ia bepergian kehadapan menyambung pelajaran. Tidak terhitung terima kasih ana kepada Nik, jikalau tidak ia, ana pasti didenda ustazah seperti Nadzirah yang didirikan di tengah panas saban hari atas sebab ia tertidur dalam kelas. Itu baru banat, banin pula, WanHisham dijalan-itikkan ustazah ke seluruh bangunan. Igauan kalau difikirkan. Nta terus diam dihadapan, mata ana sesekali terkilas kearah nta.. ana bodoh sungguh. Sungguh ana kesali sikap ana hari itu. Syakirin dan Arif masih lagi ketawa diam-diam. Ana maafkan mereka. Hari itu terasa bagai neraka buat ana.

Shahibah lain memandang ana dengan serong gamaknya, ana faham. Silap ana. Masa habis kelas, ana melencong ke bilik air. Hendak menangis sepuasnya, diteman oleh Zu dan Leha. Yang lain2 telah pun ke musholla, masa untuk menghafaz al-furqan. Lama ana menangis, kasihan dua sahabt ana, terpaksa memujuk. Ana tahu ana manja. Kemudian datang Ihah memarahi ana, berkelakuan tidak selayaknya sebagai shahibah yang paling dihormati, shahibah mithaliyyah. Ana tak tahu silap ana di mana hari itu. Dugaan mendatang dari Tuhan tanda Ia sayang. Ana redha.

Nti lihatlah para anbiya’. Dugaan mereka kalau nak dibandingkan dengan kita tak terlawan. Sebab itu nabi bersabda;

Ashaddul bala’, alanbiyaa’.. (Seberat-berat bala’ adalah keatas para nabi)

Ana ingat kata2 abang Aiman. Sewaktu ia pulang dua tahun lalu dari Kaherah. Itulah kali pertama ana lihat abang kandung ana seumur hidup. Sebelum-belum itu hanya melalui internet. Itupun setelah dipaksa ia untuk meletakkan gambarnya. Terasa lagi kucupan di ubun kepala ana hadiah rindu seorang abang yang pulang hanya dua minggu.

Hipotesisnya, lebih berat ujian, lebih sayang dari Tuhan. Syukur Tuhan masih ingat pada ana. Padahal langsung Ia tidak perlu kepada ana. Padahal kalau Ia berkehendak maka musnahlah kami yang hidup di akhir zaman dan biar tinggal tinggal bersamaNya di syurga yang benar-benar beriman kepadaNya di kalangan mereka yang terdahulu. Alhamdulillah.

Ana nampak nta petang sabtu, 4 hari selepas peristiwa kita. Nta berjalan menunduk kearah pondok telefon. Ana tidak melihat kearah nta. Cuma kerana diberitahu teman2 yang mengusik. Nta bercakap dengan seorang banat. Ana buat2 tak tahu. Terasa lain perasaan ana entah mengapa. Dari jauh kelihatan nta babul liqa’. Ana tak tahu apa yang dibicarakan nta. Sekadar ana nampak nta dari pandangan tepi. Datang adik nta, Laila. Kemudian keduanya bersama nta berjalan kearah dewan terbuka menyusuri koridor. Ana sudah bangun dari bangku. Teman2 mula hendak menyantap daging orang. Daging nta. Ana tidak enak sebegitu lalu bepergian ana ke dorm untuk bermaghrib.

Seakan Leha faham perasaan ana saat ia meneteri ana tanpa sepatah kata pun. Sememang begitu kalau ada yang berjalan dengan ana. Tahu ana tidak suka berkata yang sia2. Kalau dengan ana selalunya sunyi kerana itu jarang yang berjalan dengan ana. Sampai di dorm ana membuka purdah kepanasan. Leha berhenti sebentar di hadapan pintu. Seorang banat sedang terlentang tidur buruk sungguh. Ana buat tak endah. Ana memandang Leha yang seperti ada sesuatu hendak dibicarakan. Namun, ia berpatah balik ke dormnya setelah mengucapkan salam. Ana tahu apa yang ia fikir. Anugerah Allah. Memangkah ana cemburu?


Apakah sememangnya ‘zaman dan makannya’ menjadi fitnah buat ana? Mungkinkah hanya ujian dari Tuhan. Nta menjadi imam malam itu dan ana betul di sebelah atas, selari dengan nta. Suara nta menembus jasad ana menjadikan ana lemah tidak bermaya. Ana semakin kalah dalam pertarungan merebut khusyuk nta atau khusyuk Tuhan. Ana benci nta. Mengapa harus ana yang jadi mangsa nta? Air mata ana bertetesan mendengarkan qiraat nta seakan-akan qiraat Sheikh Hanie Rafa’ie.

“......perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik…..
Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia……

Ana faham apa nta katakan. Di qalbu ini, ana tahu tangisan hari itu bukan seperti malam2 yang lain. Bukan seperti tangisan shohibah lain yang mendengar bacaan nta, tapi ada perasaan terselit yang menggalakkan lagi tangis ana. Nta sememangnya kejam.


Malamnya ana berada di taman itu seperti biasa. Tetapi entah mengapa, langit gelap sekali alamat gerimis bakal mengundang. Hati ana tidak tenang. Landskap ini tidak langsung ana kenali kecuali bangsal buruk yang selalu ana diami di alam separa maya ini. Pasirnya hitam dan gelap lagi keras.
Dari jauh kelihatan seorang lelaki berselendang hitam berpurdah putih laksana seorang mujahid menghampiri musuh. Tinggi tegap badannya, berkulit tidak hitam tidak putih, mata khas lukisan arab merenung tajam kearah ana. Ana terduduk. Itu nta! Ana tahu itu nta. Dan nta selangkah demi selangkah semakin rapat kepada ana pedang terhunus ke sisip kanan. Sampai di hadapan diletakkan bilah di ‘unuq ana sebelah kanan. Bergenang air mata ana. Ana begitu takut sehingga terpaku. Dan nta mula berkata-kata menengking:

“Tinggalkan aku! Jangan sesekali engkau mendekat hai fitnah dunia!!!”

Ana memejamkan mata dalam tangis ketakutan. Nta hilang entah kemana. Haifa membangunkan ana.

“Nti tak apa2?”

Ana terdiam. Sepanjang hari. Shohibah lain ada yang mengatakan sengaja dibuat-buat, ada yang menaruh simpati. Ana tak kisah. Tiba2 semakin banyak dugaan hidup ana sekelip mata. Nta ghaib hari itu. Shohib khabarkan nta demam panas. Seribukali difikirkan pun, ana tetap merasakan mimpi ana seakan nyata bukan khayalan di bawah tilam.
Shohibah menghantar surat kepada amir kita, Khusairi dengan ucapan takziah untuk nta. Ana langsung tidak tahu menahu. Sedikit kecewa ana rasakan kerana mula ana dipinggirkan. Tandatangan ana sahaja yang ghaib dalam surat itu. Juga Leha kerana ia mendokong ana.

Tuhan selamatkanlah hambaMu ini dari menjadi fitnah keturunan Adam…


Hari itu ana bepergian untuk SAL di waktu petang di kelas. 21 subjek bukan sedikit. Tambahan pula 9 lagi dalam bahasa arab semuanya. Melepasi kawasan surau ana membetulkan purdah takut2 ada banin di kawasan blok. Ana tarik keluar sedikit jilbab. Pandangan mula ke bawah. Dan ana dapati blok kosong langsung tidak bermanusia. Dan ana melangkah ke kelas kedua..

Kerana tiada banin ana masuk dari pintu larangan, pintu hadapan. Bodoh ana. Tidak tahu mengapa boleh jadi begitu. Dan ana bersenandung kecil, rast agaknya. Bodoh ana. Dan tersentak ana mendapati nta di dalam kelas. Berseorangan. Tapi nta tidak jaga. Kepala terkulai di atas lengan di atas meja. Sedikit dengkuran terdengar. Bodoh ana. Ana ketawa kecil. Hanya kedengaran di telinga ana.
Ana berjalan terus ke maktab ana. Bodoh ana. Nta berpura tidur. Seakan tahu ana kedatangan dari awal. Dan bila ana sampai di maktab, nta bangun. Bersedia hendak keluar. Terkejut besar ana. Nta tidak memalingkan muka ke belakang, namun kata2 nta cukup tegas:

“Mu tok se buak lagu tu lepah2 ni ambe tok kene tengok gheti?”
(Nti jangan buat macam tu lepas ni ana tak berkenan tengok faham?)

Ana tertunduk langsung. Malu besar. Ana mengangguk sahaja. Seakan nta nampak walaupun tak berpaling, berjalan terus keluar. Ana terus pulang ke aspuri. Walaupun ‘tidak pernah sebelum ini’ kita rapat. Tapi ana cukup kecil hati bila dibahasakan dengan ‘mu’. Ana tidak menangis, cuma seakan teresak. Tersembam muka di bantal buruk sungguh. Tapi tak dapat mengawal perasaan takut2 dek nampak orang.

Setelah liqa’ almulk 2hari selepas itu, ana mengepalai tarbiyah adik2 tahun 2 di madrasah. Terutamanya bab menjaga aurat dan akhlak serta suara mereka. Kerana komen dari banin yang disampaikan Dasuki, naib nta, naib amir lujnah dakwah dan tarbiyyah, muslimat tak reti jaga suara mereka yang boleh menjadi fitnah buat banin. Selalunya nta yang mengkhabarkan, ana yang mewakilkan orang tapi kali ini.. Entah, ana tak tahu. Saat ana cuba membiasakan diri, nta pula yang menjauhkan diri. Ana faham teguran nta, seperti yang disebut di dalam alfurqan,

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

Nyata jelas suara banat boleh yang dilunakkan itu fitnah. Ramai yang menangis malam itu, ana juga yang memberi nasihat menangis.. Adik2 masih lembut hati, masih boleh dilentur.. kesemuanya memeluk ana beramai-ramai dalam gelap bilik tarbiyah.. ana tergelak sambil tangisan masih di pipi.. Senyum melebar.

Malam itu penuh syahdu. Semua keletihan, kami tidur pukul 1. Ana tak terus tidur, takut tak terbangun lagi. Ana menyambung bacaan al-quran setelah seminggu meninggalkannya. Rindu ana padanya. Setelah penat dan memastikan tiada sesiapa nampak, ana melunjurkan kaki kehadapan, sambil bersandar ke dinding, masih dalam kegelapan bilik tarbiyah.

Ana tidur sejenak setelah beberapa minit. Teringat sayunya kisah nabi Musa yang ana baca tadi, rindunya dia kepada Allah..

Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (DzatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada ditempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu". Setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajallaNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pingsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)".

Ana menuju ke musholla dalam gelap. Lampu masih belum dibuka. Melepasi kawasan taman bunga ana sampai ke situ, melihat keadaan langit dan bulan, baru pukul 2 gamaknya. Ana menuju ke tempat wudhu’, membuka paip untuk memperbaharui wudhu’.. Aduhai! Tiada air? Macam mana ni? Ana mula memikirkan penyelesaian mushaqqah, dalam kepala berlegar-legar satu idea, ana tak yakin tapi ana mesti lakukan juga.. kalau ana tidur, takkan bangun lagi lepas ni.. Ana tetap, ianya mesti dilakukan..

Sembunyi2, ana turun dari tempat banat menggunakan tangga yang menuju ke tingkat bawah, sholah sembahyang untuk banin.. perlahan-lahan.. Ana yakin banin biasanya lewat solat tahajud, paling awal mungkin 3 setengah.. tambahan lagi, aspura jauh dari musholla.. kebiasaannya atau semestinya, tempat wudu’ banin yang bertangki memang selalu ada air. Ana menjijit turun satu persatu anak tangga.. Sampai ke bawah, ana menjenguk ke tepi, tiada seorang pun agaknya, keadaan terlalu gelap membutakan ana.. tapi kalau ana ke tempat wudhu’ banin pun, mustahil mereka boleh nampak dengan gelap malam pertama sya’ban.

Ana mengaku ana memang hilang waras melakukan perkara sebegitu.. Sungguh tak patut, namun ana tak sanggup tinggal qiamullail. Mungkin perasaan membara ana yang mendorong. Tidak mengapa, kalau ada yang tangkap ana, ana akan cakap ana cari cincin kat sini.. Dan untuk tidak menipu, dengan perasaan berat hati, ana melemparkan cincin di jari manis kiri ke lantai, jatuh ia berdenting. Entah ke mana. Ana bergegas turun setelah benar2 memastikan tiada orang di sholah tersebut.

Alhamdulillah, ana selesai berwudhu’ sekadar mampu, dan berlari ana ke tangga itu kembali yang terletak betul2 di hadapan tempat wudhu’ tadi. Melangkah anak tangga pertama, ana terdengar suara seseorang.
Suara nta yang garau parau, berserak basah menjadi sentakan buat ana. Ya! Itu memang nta. Ana pasti nta berada di tepi tiang 3pemeluk di belakang sholah banin. Nta sedang berdoa, tak tahu kenapa, pergerakan ana terhenti.. Bodoh ana. Bodoh ana. Nta bermunajat dengan menjelmakan suara,

“Tuhanku, andai Engkau mendatangkan fitnah buatku saat ini, maka aku rela pulang kepadaMu.. Andai Engkau inginkan kepastian dariku maka tak sanggup aku hadapi ujianMu kali ini. Telah datang kepadaku badai taufan, ribut malahan kencang angin.. Namun seorang wanita lebih berat dari apa yang pernah aku jalani ya Allah.. Maka aku rela katakan diriku lemah.. Andai Engkau tetap dengan keputusanMu maka berilah aku kekuatan untuk menghadapi fitnah seorang muslimah solehah………..”

Ana terkesima mendengar bicara nta.. terlalu perlahan namun dengan keistimewaan yang diberikan Tuhan ana dapat menangkap satu persatu, dan ana tahu bahawa nta sedang tersenyum sambil berdoa’, melalui suara syahdu nta yang mampu melunturkan qalbu mana2 hati yang mendengar..




Ana melangkah dengan tangisan ke atas.. bertahajud kepada Tuhan meminta janganlah disebabkan ana jauhnya seorang muhsin dari Tuhannya dengan pilu air mata yang bergenang. Sungguh ana tak menyangka bahwa ana hari ini telah menjadi fitnah kepada seorang banin!

Hari itu setelah solat asar, ana pergi ke kelas, mentelaah kitab ‘saira assaalikin’ yang merupakan kitab yang menyuluh kitab ihya’ ‘ulumuddin oleh Imam Ghazali yang dikarang Sheikh ‘Abdusshamad Al-Falembaniy. Alfalembaniy bermaksud, ‘orang palembang’. Ana tidak langsung dapat menumpukan perhatian.. seseorang mencuri roh ana selama seminggu ini. Nta. Dan ana gelisah tentang kehilangan cincin ana. Ana jadi khayal..

Allahu rabbi, wasi’a rabbi kulla shai-in ‘ilma. Nta melangkah masuk ke kelas.. menuju kearah ana. Ana memakai kembali purdah. Bangunan masih kosong. Dan nta letakkan cincin ana di atas meja nta. Ana terkejut. Dari mana nta dapat cincin tu?

“Ana tahu kemana nti, 1 sya’ban, sepertiga malam..”

Adakah datang nta ke sini untuk memarahi ana lagi? Atau sekadar memang nta menengking sedikit bila bercakap dengan banat.

“Maafkan ana mencuri dengar. Ana..ana tak sengaja! Wallahi! Ana darurat masa tu!”

Ana menunduk malu. Teramat malu. Nta lama berdiri sebelum menyambung bicara.. Kali ini lebih perlahan..

“Ana.. ana maafkan nti. Hanya sekarang ana mahu memohon ampun dari nti, sekiranya ana terlalu kasar sebelum ni.. dan ana mahu berterus terang dengan nti tentang suatu perkara..”

Ana terdiam seketika. Malu besar kepada nta. Teringat mimpi hari itu.. ana menyambung kembali.

“Eh? (apa)”

Nta masih menundukkan pandangan dan memandang dinding sebelah kiri. Semacam nta nampak sesuatu yang tidak ana nampak di luar sana.. nta tersenyum.

“ Sejak peristiwa kita 3 minggu yang lalu, ana jadi tidak keruan berhadapan dengan nti. Nti berjaya mencairkan hati ana.. terus terang ana katakan!”

Ana terkejut besar! Sia2 ana kagum kepada nta selama ini! Nta memang pendusta!


“Pergi nta! Ana tak nak dengar apa yang nta nak cakap! Atau ana laporkan kat ustaz nanti!”
Nta ketawa kecil. Ana sudah berdiri bersedia untuk melangkah keluar. Ana betul2 terkejut dengan reaksi nta.

“Ana tahu apa yang nti fikirkan. Terserah kepada nti, ana tahu perasaan nti kepada ana. Ana tahu segalanya. Cuma hari ini ana mahu berpesan kepada nti……”

Nta diam seakan berat melafazkan.

“Carilah cinta Allah kerana Ia yang memberi kurnia. Dan kita berdua telah tertipu dengan kehidupan dunia. Dan ana sungguh berharap akan nti agar tetap memegang teguh janji Allah, Atthayyibuuna litthayyibaat! Percayalah kata2 ana! Kalau ada jodoh tak ke mana kita berdua, walaupun ana dan nti terpisah langit dan bumi, laut dan darat. Ingatlah pesan ana, nti?”

Ana menghadap ke belakang. Tak tahu apa hendak dikatakan. Terdengar nta melangkah pergi, ana berpaling ke arah nta. Rupanya di belakang pintu ada Helmey, menunggu nta, juga Hisham, teman nta walaupun tak seberapa rapat, mungkin untuk mengelakkan fitnah. MANA CINCIN ANA TADI?

Assalamualaikum...

Ana hanya mahu menerangkan apa yang jelas dan menjelaskan yang samar.
Pertemuan kita hari itu, anggaplah ia sebagai satu pertemuan bagi ana untuk memberi peringatan kepada nti, bukannya atas syahwat ana. Harap nti mengerti..

:WALLAHUA’LAM:

Andai nti tahu, kenallah tanda2,
Kalau disimpan kertas ini maka nyata nti terpedaya,
Dengan syaitan dan musuh kita seluruhnya,
Buanglah akan ia,
dan berserahlah kepada Tuhan atas segala..















Nik kasi ana surat nta sewaktu prep suatu petang.. ana tak faham. Nta pindah madrasah ke?


Sejak hari itu, ana tak nampak lagi nta. Bersyukur ana kerana Allah membantu kita mengharungi zaman di mana padanya, ramai yang kecundang. Alkisah ana dan nta, saat ana sepi dan nta datang, alkisah ana dan nta, saat ana tersadung dan nta meninggalkan ana……
Metro masih lagi bergerak. Ana masih termenung sambil menyebut nama Allah. Dari Helwan University, melepasi Dar El Salam, untuk ke El Malek El Saleh menjemput teman-teman ana, Aliya, Ayuni, Farah, Mubsirah, Maisarah, Aini, Syazwani, Hazirah, Amirah, Siti, Nabila, Akhlisah, Fatin, Syuhadah, Faizatul, Sofia dan kemudian ke Sayyeda Zaenab, jalan2 sikit. Metro kurang sesak. Hanya ada 6 orang dalam kompartmen itu. Di hujung sana ada seorang lelaki yang berpaling ke luar tingkap sebelah kanannya. Kedudukannya di bangku bertentangan dengan ana. Ia memakai jubah berwarna kelabu dan ketayap putih. Di sisinya 2 hingga 3 kitab.

Di dalam genggamannya al quran saiz poket. Entah mengapa, ana rasa tak sedap hati.. Ana memalingkan wajah ke sebelah kanan ana, melihat pemandangan luar. Saat itu, ia bangun, lelaki yang tadi.. Ana jadi berdebar-debar, siapa orangnya, yang sedang tiba2 menuju ke arah ana? Ana buat2 tak tahu.. Mungkin ana salah sangka, lelaki tadi mungkin hendak turun di Mar Girgis. Sesampainya di stesen itu, ana memberinya ruang untuk keluar. Pandangan menunduk ke bawah. Dan lelaki itu, ia memberi ana sekeping kertas dan terus keluar. Apa ni? Reset ke? Nak suruh ana buang eh? Mungkin dia tak sempat. Ana menghulurkan tangan ke tong sampah sebelum metro sempat berjalan semula. Tetapi sebelum terbuang kertas itu, terasa sesuatu yang keras, ana buka kertas yang telah digumpal itu;
Salam..

Wane lenin? Ni cincin nti ana pulangkan. Nombor telefon ana ada kat bawah. ANA KHITBAH NTI. Ana tunggu jawapan..



018xxxxxxxxxxx












Cincin ana? 5 tahun yang lalu.. Tak sangka boleh jumpa balik.. Nanti! Siapa lelaki tadi? Ana serta merta berdiri.. Metro mula bergerak.. Ana cemas mencari figur di dalam fikiran.. Air mata mula bergenang. Dan ana ternampak dia, lelaki tadi di celahan orang ramai.. berdiri tersenyum sambil meletakkan tangan kanan di dada kiri.. Nta? Metro terus bergerak tidak memahami kehendak ana.. Nta menghilang dari pandangan..

Hatiku merayu rindu,
Kasihku padaMu syahdu,
Munajat hamba padaMu,
Mengharap, kasih sayangMu
***


Penerangan#
~ Ana dan nta adalah watak rekaan semata-mata (berdasarkan penerapan ciri perwatakan yang terdapat pada latar masyarakat realiti)
~ Watak utama (ana) sedang mengimbau kembali sejarah hidupnya sewaktu di madrasah ketika dia berada di dalam metro (kereta api moden di Mesir).
~ Watak ‘nta’ memulangkan kembali cincin sewaktu di madrasah tetapi mengambilnya semula kerana tahu akan berjumpa kembali dengan ana suatu hari terkemudian. Fokus kepada ayat “MANA CINCIN ANA TADI?”.
~ Cerita ini bertujuan menyedarkan shabab khususnya akan janji Allah di dlm AlQuran, ‘Atthayyibuuna litthayyibaat’, (Lelaki2 yg baik untuk perempuan2 baik).
~ “Wane lenin?” di dalam surat bermaksud, “Macam mana nti sekarang?/ Apa khabar?”
~ “Eh?” bermaksud “apa?”, bahasa loghat arab Mesir.
~ Penulis tidak terlibat dalam penceritaan. Sama2lah kita doakan agar kita sentiasa berada di atas jalan keredhaan Allah dan tidak sesat semata-mata kerana syahwat dunia. WALLAHUA’LAM.


footnote>> copied from http://abasshabab.blogspot.com/.. sekadar muhasabah bersama